Monday 7 May 2012

'Sangkar' kebebasan penulisan Internet


Melalui artikel yang telah ditulis oleh Dr. Rahmat Ghazali yang bertajuk ‘Kebebasan berita dan informasi siber: suatu paradoks’, saya bersetuju bahawa kebebasan berita dan informasi siber seharusnya mempunyai suatu had yang rasional dimana setiap penulisan seharusnya mengambil kira setiap  aspek kehidupan dimana secara lahiriahnya segala apa yang diterbitkan di dalam Internet mungkin boleh mengganggu gugat ketenteraman sesebuah negara dan mungkin boleh membawa kepada kucar-kacir di dalam negara. Kemajuan teknologi telah membawa penulisan secara maya sebagai salah satu wadah bagi menyampaikan informasi, memberi komen dan pendapat disamping menjadi tempat meluahkan emosi. Namun demikian, adakah anda sedar akan fenomena yang berlaku tatkala semakin ramai yang menulis secara maya dimana tiada kawalan tertentu dan kebebasan mutlak menyampaikan pendapat telah mendorong berlakunya fitnah, pergaduhan dan jenayah siber?
 
Saban hari, makin banyak penulisan di dalam Internet yang dilihat tidak beretika dan penggunaan bahasanya agak keterlaluan, lebih-lebih lagi dapat dilihat di dalam blog-blog pakatan pembangkang. Ketiadaan pihak yang mengawal perjalanan informasi di dalam talian ini dikhuatiri dapat mempengaruhi pemikiran anak-anak muda yang mempunyai jiwa yang memberontak. Selain itu, lambakan penulisan, propaganda dan dakyah anti-kerajaan yang disebarkan oleh pihak pembangkang turut memberi kesan kepada negara. Melalui idea yang disampaikan mereka, lama- kelamaan ramai individu akan terpengaruh kerana lambakan isu yang dipaparkan boleh mengubah pendirian dan pendapat mereka terhadap perlembagaan yang sedia ada. Mungkin ada kebenaran yang disampaikan oleh pihak-pihak yang mengeluarkan sesuatu cerita itu namun yang demikian, tidak ada sesiapa yang dapat membuktikan ianya merupakan sesuatu cerita itu sahih memandangkan tidak wujudnya ‘gatekeeper’ di dalam dunia Internet.

Namun jika dilihat dari sudut berlainan, memang benar bahawa penulisan di Internet ini merupakan wadah bagi mewakili suara rakyat kepada pemimpin negara, namun sebaiknya setiap individu yang menulis di Internet mengamalkan penulisan yang beretika dan tidak menghamburkan makian dan cacian. Mereka yang menulis di Internet seharusnya boleh berfikir secara wajar dan rasional dan merancang dengan baik apa yang ingin disampaikan. Begitu juga selaku pembaca cerita-cerita dan informasi dari dunia siber kita sebaiknya berfikir dahulu sebelum membuat satu spekulasi ataupun tindakan, dan membuat pertimbangan yang sewajarnya agar tidak berlaku sesuatu perkara yang dapat menjatuhkan maruah diri sendiri, agama, bangsa dan negara. Walaupun Interet dikategorikan sebagai tempat yang bebas untuk menyampaikan idea mahupun informasi, namun ianya masih seperti berada di dalam ‘sangkar’ kerana jika ada isu yang dibicarakan mampu menggugat kestabilan sesebuah institusi, tindakan undang-undang boleh dikenakan terhadap penulis itu sendiri.