Melalui artikel yang telah ditulis
oleh Dr. Rahmat Ghazali yang bertajuk ‘Kebebasan berita dan informasi siber:
suatu paradoks’, saya bersetuju bahawa kebebasan berita dan informasi siber
seharusnya mempunyai suatu had yang rasional dimana setiap penulisan seharusnya
mengambil kira setiap aspek kehidupan
dimana secara lahiriahnya segala apa yang diterbitkan di dalam Internet mungkin
boleh mengganggu gugat ketenteraman sesebuah negara dan mungkin boleh membawa
kepada kucar-kacir di dalam negara. Kemajuan teknologi telah membawa penulisan
secara maya sebagai salah satu wadah bagi menyampaikan informasi, memberi komen
dan pendapat disamping menjadi tempat meluahkan emosi. Namun demikian, adakah
anda sedar akan fenomena yang berlaku tatkala semakin ramai yang menulis secara
maya dimana tiada kawalan tertentu dan kebebasan mutlak menyampaikan pendapat
telah mendorong berlakunya fitnah, pergaduhan dan jenayah siber?
Saban hari, makin banyak penulisan di
dalam Internet yang dilihat tidak beretika dan penggunaan bahasanya agak
keterlaluan, lebih-lebih lagi dapat dilihat di dalam blog-blog pakatan
pembangkang. Ketiadaan pihak yang mengawal perjalanan informasi di dalam talian
ini dikhuatiri dapat mempengaruhi pemikiran anak-anak muda yang mempunyai jiwa
yang memberontak. Selain itu, lambakan penulisan, propaganda dan dakyah anti-kerajaan
yang disebarkan oleh pihak pembangkang turut memberi kesan kepada negara. Melalui
idea yang disampaikan mereka, lama- kelamaan ramai individu akan terpengaruh
kerana lambakan isu yang dipaparkan boleh mengubah pendirian dan pendapat mereka
terhadap perlembagaan yang sedia ada. Mungkin ada kebenaran yang disampaikan
oleh pihak-pihak yang mengeluarkan sesuatu cerita itu namun yang demikian,
tidak ada sesiapa yang dapat membuktikan ianya merupakan sesuatu cerita itu sahih
memandangkan tidak wujudnya ‘gatekeeper’ di dalam dunia Internet.
Namun jika dilihat dari sudut
berlainan, memang benar bahawa penulisan di Internet ini merupakan wadah bagi mewakili
suara rakyat kepada pemimpin negara, namun sebaiknya setiap individu yang
menulis di Internet mengamalkan penulisan yang beretika dan tidak menghamburkan
makian dan cacian. Mereka yang menulis di Internet seharusnya boleh berfikir
secara wajar dan rasional dan merancang dengan baik apa yang ingin disampaikan.
Begitu juga selaku pembaca cerita-cerita dan informasi dari dunia siber kita
sebaiknya berfikir dahulu sebelum membuat satu spekulasi ataupun tindakan, dan
membuat pertimbangan yang sewajarnya agar tidak berlaku sesuatu perkara yang
dapat menjatuhkan maruah diri sendiri, agama, bangsa dan negara. Walaupun Interet
dikategorikan sebagai tempat yang bebas untuk menyampaikan idea mahupun
informasi, namun ianya masih seperti berada di dalam ‘sangkar’ kerana jika ada
isu yang dibicarakan mampu menggugat kestabilan sesebuah institusi, tindakan
undang-undang boleh dikenakan terhadap penulis itu sendiri.